Daripada Sekadar Pelengkap Acara, Haiqal Hanafi Kini Adalah Raja Pecut Asia Tenggara

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itulah perumpamaan yang tepat buat Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu, Muhammad Haiqal Hanafi selepas meraih emas acara 100 meter lelaki  di Stadium Olahraga New Clark City.

Muhammad Haiqal Hanafi muncul juara acara lari pecut 100 meter dengan satu kemenangan yang selesa dengan catatan masa 10.35 saat.

Ketika dilepaskan semalam, lonjakkan yang begitu baik daripada Muhammad Haiqal Hanafi ketika memulakan perlumbaan memberikan kelebihan kepada Haiqal. Beliau kemudiannya berjaya meneruskan momentum larian meninggalkan pelari lain dengan begitu selesa.

Ruttanapon Sowan dari Thailand merupakan pesaing utama dan pelari yang dijangkakan akan meraih pingat. Namun akhirnya prospek tersebut dinafikan oleh Muhammad Haiqal Hanafi.

Pelari pecut dari Thailand itu mencatatkan masa terbaik ketika peringkat saringan dengan catatan masa 10.35 saat, namun gagal mengekalkan rentak larian di pusingan akhir.

Haiqal pertahan emas 100 meter

Muhammad Haiqal Hanafi berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA dalam acara lari pecut 100 meter lelaki yang sebelum ini menjadi milik Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA 2017.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Khairul Hafiz Jantan tidak dapat mempertahankan gelarannya tahun ini apabila gagal had kelayakan dan tidak berada di prestasi terbaiknya selepas kembali daripada kecederaan panjang.

Pada mulanya perancangan untuk Muhammad Haiqal Hanafi di Sukan SEA 2019 hanyalah untuk acara 4×100 meter, bersama-sama Zulfiqar Ismail, Khairul Hafiz Jantan dan Nixon Kennedy.

Malah kuota 4 x 100 meter negara ini hanya bertanding di dalam ketegori B selepas gagal melepasi kelayakan yang ditetapkan.

Dua wakil 100 meter

Untuk acara 100 meter, kontingen olahraga negara diperuntukkan dua slot oleh pihak penganjur.

Hanya Jonathan Nyepa sahaja yang berjaya melepasi had kelayakan dan mengisi satu daripada dua slot untuk acara 100 meter dan selepas itu satu lagi slot itu diberikan kepada Zulfiqar Ismail.

Pada 22 November 2019, ketika Sukan SEA akan bermula secara rasmi kurang beberapa hari, Zulfiqar Ismail telah digugurkan pada saat akhir bagi acara 100 meter lelaki kerana kecederaan paha yang masih belum pulih.

Muhammad Haiqal Hanafi yang mempunyai catatan masa yang lebih baik berbanding Khairul Hafiz Jantan dan Nixon Kennedy telah dipilih sebagai calon pengganti saat akhir dan peluang ini digunakan sebaiknya.

Kekecewaan Zulfiqar tidak halang Haiqal

Zulfiqar Ismail nyata kecewa dengan pengguguran saat akhir beliau. Malah pelari negara itu menegaskan bahawa beliau sudah pulih daripada kecederaan yang dialaminya pada September lalu dan kini sudah bersedia untuk berlumba.

Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad telah mempersoalkan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana menggugurkan Zulfiqar Ismail.

Di sebalik perkara itu, nama Haiqal dikekalkan dengan tahap kecergasan Zulfiqar menjadi pertimbangan utama.

Haiqal bukti kemampuan

Namun pada 8 Disember 2019, Muhammad Haiqal Hanafi telah membuktikan beliau calon pengganti yang mampu memikul tugas diberikan dengan cemerlang walaupun tidak diletakkan harapan pingat.

Dalam acara 100 meter ini, Jonathan Nyepa disebut-sebut sebagai prospek utama pingat negara namun kejutan telah dilakarkan oleh Muhammad Haiqal Hanafi.

Jonathan Nyepa menamatkan saingan diperingkat akhir hanya dikedudukan ke-4.

Harapan emas di Sukan SEA 2019 Filipina untuk Muhammad Haiqal Hanafi raih mula bersinar selepas beliau mencatatkan masa kedua terpantas di pusingan saringan dengan catatan masa 10.39 saat.

Pusingan akhir semalam nyata pentas untuk Muhammad Haiqal Hanafi untuk menobatkan dirinya selaku Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu.

Dari kami di grandstandkita.com, teruskan usaha untuk mencapai kejayaan di tahap tertinggi.

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email